12 November 2013

Cerita dulu-dulu-dulu ku memancing....

Teringat kembali kisah lama. Salah satu cerita yang aku coretkan 7 tahun lalu. Belek2 hard disk boleh jumpa pulak cerita ni. Ni waktu memula aku menceburkan diri dalam bidang memancing professional.

Salam sejahtera kepada semua. Dengarlah ceritaku. Bagaimana diriku bermula dalam aktiviti ini. Yang baik jadikan pengajaran, yang buruk jadikan pengajaran juga.

Aktiviti memancing ku bermula sewaktu umurku 12 tahun. Ketika itu, aku bersama 2 orang sepupu selalu melakukan aktiviti ini yang pada fikiran kami, merupakan satu hobi yang mengisi masa lapang dan ia bermula sewaktu kami bercuti di kampung. Kampungku yang terletak di Sungai Pulai, Muar, Johor itu mempunyai satu tali air atau parit yang digunakan oleh petani dahulu bagi mendapatkan bekalan air pada tanaman mereka. Kami berusaha bertanya kepada abang-abang saudara, pakcik dan kepada atuk mengenai umpan, ikan mahu pun peralatan. Atuk kami adalah seorang nelayan di sana.

Dengan menaiki motosikal honda 70 lampu bulat, kami mencari peralatan yang diperlukan. Kami beli 1 gulung tali tangsi 70sen dan 3 bentuk mata kail 30sen. Modal RM1 sahaja! Selepas itu, kami masuk ke hutan untuk mencari buluh yang halus yang bertindak sebagai joran. Umpan yang digunakan ialah belacan yang digaul bersama tepung. Pada mulanya, nenek kami yang tolong buatkan, lepas tu baru aku buat sendiri. Pada masa itu, tak sangka ikan suka makan belacan.

Ibuku melarang aku memancing kerana bimbang akan keselamatanku. Pada masa itu, tangan kiriku memegang umpan, manakala tangan kananku memegang joran buluh. Mendengar larangan ibuku, aku sedih dan mencemik muka. Setelah nenekku menyokong dan memberi nasihat kepada kami, barulah ibuku memberikan kebenaran. Tangan mereka kami kucup dan kami ucap terima kasih. Kami pun mula memancing dan mendapat beberapa ekor ikan seperti haruan, lundu dan betok. Ikan yang kami dapat tadi nenekku goreng dan dimakan bersama. Perasaan gembira memang tidak boleh digambarkan. Pengalaman yang cukup berharga bagiku dan sahabatku.
Sahabatku ini sebenarnya sepupu, tapi macam kawan rapat. Faizal namanya. Kami memang dikatakan macam kembar dan sehati sejiwa oleh keluarga dan saudara-mara. Sekarang, kami sudah berumah tangga dan bekerja. Kerja yang sama iaitu menjadi guru. Kami mengajar sekolah menengah. Mengajar pun subjek yang sama. Alhamdulillah…rezeki. 

Terdapat juga banyak kisah menarik yang tak dapat nak dicoretkan disini tetapi ia tetap diingatanku. Kisah jatuh ke dalam sungai akibat jambatan yang reput. Kisah nampak lembaga dalam ladang sawit. Kisah lari lintang pukang ingatkan buaya tetapi hanya seekor biawak. Semua cerita itu jika dikumpul boleh menjadi satu novel. Ada juga satu ketika kami memancing, terjumpa satu tali air yang jernih airnya. Dengan tak sabar-sabar dalam waktu yang panas terik itu, kami pun mandi di situ. Bila balik, rasa gatal menyelubungi badan. Kami terus serik hendak mandi lagi disitu. 

Perubahan zaman telah mengajar kami bahawa Tuhan maha Adil kepada makhluknya. Kalau dulu memancing sebagai hobi, sekarang ni memancing sebagai satu bidang untuk mendapat ilmu pengetahuan. Memangku akui, ilmu yang ku dapat sewaktu memancing bukan sahaja ilmu memancing itu sendiri, malah pelbagai ilmu Tuhan yang sangat luas. Bukan nak kata memancing tu aktiviti yang paling baik atau paling bagus tetapi untuk diri aku ia cukup bersesuaian. Begitu juga dengan rakan-rakan pancing yang lain yang memang dah lama memancing. Keseronokan pada zaman kanak2 adalah berbeza dengan keseronokkan sekarang. Keseronokan sekarang adalah keseronokan dalam mendapat dan mempraktikkan ilmu.

Bagaimana dengan keluarga? Bagiku, keluarga satu amanah. Tidak boleh diabaikan, tidak boleh dibiarkan. Ada orang berkata “Apa nak jadi pun aku tak kisah sangat...”, perkataan sebegini perlu diubah. Memang bukan kita yang menentukan segalanya. Isteriku yang paling ku cintai, merupakan seorang yang amat rajin, teliti dan kekadang cerewet tu, biasala ye. Beliau bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Johor Bahru. Beliau tidak berapa suka aku memancing setiap hari atau setiap minggu. . Itulah yang amat ku kagumi. Bilaku katakan padanya aku ingin pergi memancing, beliau akan berikan nasihat dengan kata-kata yang baik. Anakku pula, kuberi nama Aimi. Kalau aku ikat mata kail, dia pun nak sama ikat juga. Kalau terlepas pandang, satu toolbox dia ’checking’. Nampaknya anakku juga dah minat mancing. Oklah tu.

Setelah 12 tahun tidak memancing sejak tingkatan satu, akhirnya pada tahun 2003, seorang rakan satu sekolah menengah telah mengajakku ke sebuah kelong untuk memancing. Dengan modalkan mata kail dan perambut (yang lain pinjam), aku pun pergi dengan membawa beg yang berisi barangan tadi serta pakaian, berus gigi dan lampu suluh. Semua tu isteriku yang siapkan semuanya. Luv u sayang... Hanya 3 orang di kelong tersebut, aku, dan 2 orang rakanku. Pada waktu dari petang hingga malam, tiada seekor pun yang ingin menjamah umpanku. Sehingga pada waktu tengah malam jam 2:30 am, reel yang ku pinjam berdesing selepas 2 saat umpan menyentuh air. "Baru je baling.... Macam tak sabar-sabar ikan ni nak makan umpanku", ku berbisik. Aku pun gelabah, terus mengarau reel. Berbunyilah reel akibat drag setting yang rendah. Dengan bantuan, rakan-rakan, akhirnya, ikan yang memakan umpanku nampak batang hidungnya. Ikan bandang sepanjang 1 meter berjaya disauk oleh rakanku, Asri. Pada waktu itu, rasa puas, rasa bersyukur, rasa macam tak percaya pun ada. Tapi, Alhamdulillah, Tuhan makbulkan doaku. Hajatku pada waktu malam untuk mendapat ikan besar telah dimakbulkan olehNya. Rasa macam cukup hebat masa tu. Ikan pertama sejak 12 tahun. Semua orang ku telefon dan bertanyakan tentang spesis ikan ini. Sebab tak kenal ikan. Itulah, bila dah kenal dunia memancing, banyak le ssgt ilmu pengetahuan yang kuperolehi. Terima kasih amat tidak terhingga kepada rakan-rakanku.
Begitulah kisah mula2 mengenal pancing. Aku bukanlah seorang yang kaki pancing tegar kerana memang diriku bukan diantara spesis yang tegar dalam sesuatu bidang. Itu masing-masing. Jangan kita menyalahkan sesiapa, sama ada tegar atau tidak tegar itu bukan soalnya. Gila pancing, hantu pancing semua tu dah basi. Yang ada di Malaysia kebanyakannya yang profesional dalam bidang pancing. Kesimpulannya, tiada, tetapi rumusan yang dapat dibuat ialah “Lakukanlah yang terbaik dan biarlah ianya ikhlas dari hati” Sekian setakat ini diriku bercerita untuk diriku sendiri. Sekian...


No comments: