Teringat kembali kisah lama. Salah satu cerita yang aku coretkan 7 tahun lalu. Belek2 hard disk boleh jumpa pulak cerita ni. Ni waktu memula aku menceburkan diri dalam bidang memancing professional.
Salam sejahtera kepada semua. Dengarlah
ceritaku. Bagaimana diriku bermula dalam aktiviti ini. Yang baik jadikan
pengajaran, yang buruk jadikan pengajaran juga.
Aktiviti memancing ku bermula
sewaktu umurku 12 tahun. Ketika itu, aku bersama 2 orang sepupu selalu
melakukan aktiviti ini yang pada fikiran kami, merupakan satu hobi yang
mengisi masa lapang dan ia bermula sewaktu kami bercuti di kampung.
Kampungku yang terletak di Sungai Pulai, Muar, Johor itu mempunyai
satu tali air atau parit yang digunakan oleh petani dahulu bagi
mendapatkan bekalan air pada tanaman mereka. Kami berusaha bertanya
kepada abang-abang saudara, pakcik dan kepada atuk mengenai umpan, ikan
mahu pun peralatan. Atuk kami adalah seorang nelayan di sana.
Dengan menaiki motosikal honda 70
lampu bulat, kami mencari peralatan yang diperlukan. Kami beli 1
gulung tali tangsi 70sen dan 3 bentuk mata kail 30sen. Modal RM1
sahaja! Selepas itu, kami masuk ke hutan untuk mencari buluh yang halus
yang bertindak sebagai joran. Umpan yang digunakan ialah belacan yang
digaul bersama tepung. Pada mulanya, nenek kami yang tolong buatkan,
lepas tu baru aku buat sendiri. Pada masa itu, tak sangka ikan suka
makan belacan.
Ibuku melarang aku memancing
kerana bimbang akan keselamatanku. Pada masa itu, tangan kiriku memegang
umpan, manakala tangan kananku memegang joran buluh. Mendengar larangan
ibuku, aku sedih dan mencemik muka. Setelah nenekku menyokong dan
memberi nasihat kepada kami, barulah ibuku memberikan kebenaran. Tangan
mereka kami kucup dan kami ucap terima kasih. Kami pun mula memancing
dan mendapat beberapa ekor ikan seperti haruan, lundu dan betok. Ikan
yang kami dapat tadi nenekku goreng dan dimakan bersama. Perasaan
gembira memang tidak boleh digambarkan. Pengalaman yang cukup berharga
bagiku dan sahabatku.
Sahabatku ini sebenarnya sepupu,
tapi macam kawan rapat. Faizal namanya. Kami memang dikatakan macam
kembar dan sehati sejiwa oleh keluarga dan saudara-mara. Sekarang, kami
sudah berumah tangga dan bekerja. Kerja yang sama iaitu menjadi guru.
Kami mengajar sekolah menengah. Mengajar pun subjek yang sama.
Alhamdulillah…rezeki.
Terdapat juga banyak kisah menarik
yang tak dapat nak dicoretkan disini tetapi ia tetap diingatanku. Kisah
jatuh ke dalam sungai akibat jambatan yang reput. Kisah nampak lembaga
dalam ladang sawit. Kisah lari lintang pukang ingatkan buaya tetapi
hanya seekor biawak. Semua cerita itu jika dikumpul boleh menjadi satu
novel. Ada juga satu ketika kami memancing, terjumpa satu tali air yang
jernih airnya. Dengan tak sabar-sabar dalam waktu yang panas terik itu,
kami pun mandi di situ. Bila balik, rasa gatal menyelubungi badan. Kami
terus serik hendak mandi lagi disitu.
Perubahan zaman telah mengajar
kami bahawa Tuhan maha Adil kepada makhluknya. Kalau dulu memancing
sebagai hobi, sekarang ni memancing sebagai satu bidang untuk mendapat
ilmu pengetahuan. Memangku akui, ilmu yang ku dapat sewaktu memancing
bukan sahaja ilmu memancing itu sendiri, malah pelbagai ilmu Tuhan yang
sangat luas. Bukan nak kata memancing tu aktiviti yang paling baik
atau paling bagus tetapi untuk diri aku ia cukup bersesuaian. Begitu
juga dengan rakan-rakan pancing yang lain yang memang dah lama
memancing. Keseronokan pada zaman kanak2 adalah berbeza dengan
keseronokkan sekarang. Keseronokan sekarang adalah keseronokan dalam
mendapat dan mempraktikkan ilmu.
Bagaimana dengan keluarga?
Bagiku, keluarga satu amanah. Tidak boleh diabaikan, tidak boleh
dibiarkan. Ada orang berkata “Apa nak jadi pun aku tak kisah
sangat...”, perkataan sebegini perlu diubah. Memang bukan kita yang
menentukan segalanya. Isteriku yang paling ku cintai, merupakan seorang
yang amat rajin, teliti dan kekadang cerewet tu, biasala ye. Beliau
bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Johor Bahru. Beliau
tidak berapa suka aku memancing setiap hari atau setiap minggu. .
Itulah yang amat ku kagumi. Bilaku katakan padanya aku ingin pergi
memancing, beliau akan berikan nasihat dengan kata-kata yang baik.
Anakku pula, kuberi nama Aimi. Kalau aku ikat mata kail, dia pun nak
sama ikat juga. Kalau terlepas pandang, satu toolbox dia ’checking’. Nampaknya anakku juga dah minat mancing. Oklah tu.
Setelah 12 tahun tidak memancing
sejak tingkatan satu, akhirnya pada tahun 2003, seorang rakan satu
sekolah menengah telah mengajakku ke sebuah kelong untuk memancing.
Dengan modalkan mata kail dan perambut (yang lain pinjam), aku pun
pergi dengan membawa beg yang berisi barangan tadi serta pakaian, berus
gigi dan lampu suluh. Semua tu isteriku yang siapkan semuanya. Luv u sayang... Hanya 3 orang di kelong
tersebut, aku, dan 2 orang rakanku. Pada waktu dari petang hingga
malam, tiada seekor pun yang ingin menjamah umpanku. Sehingga pada
waktu tengah malam jam 2:30 am, reel yang ku pinjam berdesing
selepas 2 saat umpan menyentuh air. "Baru je baling.... Macam tak
sabar-sabar ikan ni nak makan umpanku", ku berbisik. Aku pun gelabah,
terus mengarau reel. Berbunyilah reel akibat drag setting
yang rendah. Dengan bantuan, rakan-rakan, akhirnya, ikan yang memakan
umpanku nampak batang hidungnya. Ikan bandang sepanjang 1 meter berjaya
disauk oleh rakanku, Asri. Pada waktu itu, rasa puas, rasa bersyukur,
rasa macam tak percaya pun ada. Tapi, Alhamdulillah, Tuhan makbulkan
doaku. Hajatku pada waktu malam untuk mendapat ikan besar telah
dimakbulkan olehNya. Rasa macam cukup hebat masa tu. Ikan pertama sejak
12 tahun. Semua orang ku telefon dan bertanyakan tentang spesis ikan
ini. Sebab tak kenal ikan. Itulah, bila dah kenal dunia memancing,
banyak le ssgt ilmu pengetahuan yang kuperolehi. Terima kasih amat
tidak terhingga kepada rakan-rakanku.
Begitulah kisah mula2 mengenal
pancing. Aku bukanlah seorang yang kaki pancing tegar kerana memang
diriku bukan diantara spesis yang tegar dalam sesuatu bidang. Itu
masing-masing. Jangan kita menyalahkan sesiapa, sama ada tegar atau
tidak tegar itu bukan soalnya. Gila pancing, hantu pancing semua tu dah
basi. Yang ada di Malaysia kebanyakannya yang profesional dalam bidang
pancing. Kesimpulannya, tiada, tetapi rumusan yang dapat dibuat ialah
“Lakukanlah yang terbaik dan biarlah ianya ikhlas dari hati” Sekian
setakat ini diriku bercerita untuk diriku sendiri. Sekian...